Lee Kwang Soo ‘Si Zirafah’ Umum Bakal Keluar Dari Running Man selepas 11 Tahun Bersama.




Setelah hampir 11 tahun, pelakon Korea Selatan, Lee Kwang Soo dilaporkan bakal meninggalkan rancangan televisyen popular, Running Man tidak lama lagi.

Perkara itu telah dimaklumkan oleh agensinya, King Kong by Starship dalam satu kenyataan media.

Lee Kwang Soo akan menjalani penggambaran untuk episod terakhir pada 24 Mei 2021, lapor Koreaboo.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan agensinya, keputusan itu diambil setelah perbincangan panjang dengan anggota pasukan Running Man yang lain dan juga kakitangan produksi.

“Lee Kwang Soo telah mengalami kecederaan pergelangan kaki yang teruk akibat kemalangan kereta pada tahun lalu. Sejak itu, dia telah menjalani terapi fizikal, tetapi dia menghadapi kesulitan untuk terus menjaga kesihatannya dengan baik.

“Setelah melakukan perbincangan, Lee Kwang Soo memutuskan untuk berehat dan mengutamakan pemulihannya,” kata agensi itu.

Tambah kenyataan itu lagi, keputusan itu tidak mudah dibuat kerana Lee Kwang Soo dan ahli Running Man sangat rapat dan bagaikan sudah seperti keluarga sendiri.

Berita ini pastinya mengejutkan para peminat Running Man kerana Kwang Soo antara ahli yang sentiasa menceriakan suasana di dalam rancangan itu.