[HADID] "Yahudi rampas rumah, kami jadi pelarian tapi tak pernah membenci"


BAPA kepada supermodel terkemuka dunia, Bella dan Gigi Hadid iaitu Mohamed Hadid mendedahkan kerana terlalu bermurah hati dengan orang Yahudi, kediaman mereka dirampas dan akhirnya mereka menjadi pelarian.

Menerusi satu hantaran status mengenang Allahyarham ibunya, Puteri Khairiah Daher Hadid di Instagram, Mohamed Hadid, 72, berkata, ibu dan Allahyarham bapanya, Anwar Hadid sangat baik kerana memberi tempat tinggal kepada orang Yahudi.


“Ini ibu bapa saya yang mempelawa keluarga Yahudi ke kediaman mereka pada 1946.

“Mereka (keluarga Yahudi) rampas rumah dan kami jadi pelarian. ketika itu (1948) saya baru berusia sebulan namun saya tiada sekelumit rasa kebencian terhadap Yahudi kerana ibu bapa kami ajar kami untuk tidak membenci,” ujar Mohamed Hadid.

Melalui hantaran status berkenaan, turut disertakan sekeping foto lama hitam putih allahyarham ibu bapanya masing-masing segak dan jelita mendondon busana perkahwinan.

Mohamed Hadid, berketurunan Palestin dan merupakan seorang jutawan yang berprofesi pemaju hartanah ulung berpangkalan Amerika Syarikat.

Dia dikenali dan dihormati ramai kerana mengusahakan perniagaan hartanah termasuk membina hotel dan mahligai mewah di kejiranan Bel Air, Los Angeles Beverly Hills, California.

Memiliki kekayaan berjumlah sehingga AS$200 juta (RM825 juta), lelaki itu mempunyai lima orang cahaya mata termasuk Bella dan Gigi yang membina nama dalam dunia peragaan global. 

Sumber: K! ONLINE