Ketua Politik Hamas Menjadi Sasaran Roket Israel


SEMENANJUNG GAZA: Serangan udara Israel menyasarkan kediaman Ketua Biro Politik Hamas di Semenanjung Gaza, Yahya Sinwar, menurut tentera Israel hari ini, tanpa mengesahkan sama ada beliau terbunuh atau sebaliknya.

"Antara sasaran serangan adalah kediaman Ketua Biro Politik Hamas di Gaza, Yahya Sinwar, dan saudaranya, Muhammad Sinwar, Ketua Logistik dan Tenaga Kerja untuk Hamas.

Kedua-dua kediaman itu berfungsi sebagai infrastruktur ketenteraan untuk organisasi pejuang Hamas," katanya dalam satu kenyataan, sambil berkongsi video menunjukkan kepulan asap dan kerosakan teruk di lokasi serangan.

Saksi mengesahkan serangan menyasarkan kediaman Yahya.

Yahya yang juga bekas komandan cabang tentera Hamas, menjalani hukuman lebih dua dekad di penjara Israel sebelum dibebaskan pada 2011 menerusi pertukaran tahanan.

Beliau dipilih sebagai Ketua Sayap Politik Hamas di Gaza pada 2017, sebelum dilantik semula pada Mac lalu untuk terus mengetuai gerakan pejuang Islam di Gaza.

Pemimpin utama Hamas, Ismail Haniyeh, kini berpusat di Qatar. Tentera mengatakan mereka juga melakukan serangan menyasarkan sistem terowong Hamas.

Pada jam 7 pagi tadi, tentera Israel memaklumkan pejuang Palestin di Gaza sudah melepaskan sekitar 2,900 roket ke arah Israel.

Tentera Israel menyatakan 450 roket jatuh di Gaza, manakala sistem pertahanan udara Iron Dome Israel pula memintas sekitar 1,150 roket.- AFP

Sumber: BH

PERHATIAN: Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih