Konflik Israel-Palestin: Majlis Keselamatan PBB bincang pada Ahad ini


NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat secara maya Ahad ini, bagi menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan konflik antara Israel dan Palestin.

Sesi Majlis Keselamatan PBB itu memerlukan kelulusan penuh 15 ahli bagi mengadakan mesyuarat yang diadakan secara televideo berikutan pandemik COVID-19.

Satu sumber mendedahkan, sesi perbincangan yang sepatutnya diadakan hari ini, tetapi Amerika Syarikat (AS) meminta ia ditangguhkan dan mencadangkan satu sesi lain minggu hadapan.

Sebelum ini, ahli Majlis Keselamatan PBB iaitu Tunisia, Norway dan China yang meminta diadakan sidang mesyuarat tergempar hari ini, bagaimanapun bersetuju ia diadakan Ahad ini.

Semalam, AS mendakwa mereka bukan menghalang sidang mesyuarat tergempar diadakan segera tetapi memberikan waktu rundingan diplomasi bagi membincangkan konflik itu dengan serius.

Setiausaha Negara, Antony Bliken turut menafikan menghalang mesyuarat anggota Majlis Keselamatan PBB yang sepatutnya berlangsung hari ini, sebaliknya hanya mahu menangguhkannya.

"Kami terbuka dan menyokong ianya dibincangkan di PBB.

"Saya fikir ia diadakan awal minggu hadapan. Kita harap ia akan memberi masa kepada rundingan diplomasi dan membawa hasil positif," katanya kepada wartawan di Washington.

AS yang juga sekutu utama Israel sebelum ini mempertahankan negara itu sebagai mengulas serangan roket dari tentera Hamas yang menguasai Tebing Gaza.

Bagaimanapun pentadbiran Joe Biden tetap menyuarakan amaran terhadap peningkatan jumlah korban awam dan meminta Israel tidak meneruskan usaha menghalau rakyat Palestin di Baitulmaqdis, yang menjadi pencetus kepada ketegangan itu.

Rabu lalu, Blinken difahamkan sudah bercakap dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmud Abbas sendiri malah menghantar pegawai kanan Jabatan Negara, Hady Amr ke wilayah itu.

"Keganasan yang mengakibatkan korban nyawa kanak-kanak, wanita dan lelaki perlu dihentikan.

"Kita sangat jelas mahukan serangan roket itu dihentikan," kata Blinken. - AFP

Sumber: BH

PERHATIAN: Pihak Kisah Antara Kita tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.Sila pastikan yang anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Pihak Kisah Antara Kita juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih