”Tuduhan Kepada Saya Tidak Berasas & Fitnah Semata-Mata” – Ebit Lew


Pendakwah terkenal, Ebit Lew hari ini membuat laporan polis rentetan pelbagai tuduhan yang didakwa dilemparkan ke atasnya akhir-akhir ini.

Ebit Lew berkata, laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang tadi adalah bagi menyangkal segala tuduhan tersebut.

Pada awalnya, beliau enggan memberi sebarang kenyataan maklum balas, namun katanya perkara itu sangat mengganggu dan memberi kesan kepada keluarga.

“Saya memang dah lama diamkan, tak nak bercakap apa-apa, namun, bila isteri saya menangis, anak saya menangis, tanya saya kenapa macam saya ada buat kesalahan besar termasuk ahli keluarga, jadi hari ini saya pergi ke balai untuk buat laporan polis.

“Saya buat laporan polis nak menafikan semua sekali dakwaan-dakwaan, tuduhan kepada saya itu memang langsung tidak berasas dan memang fitnah semata-mata, saya boleh jawab semua tu sekelip mata, memang tiada, wallahi, tiada semua sekali,” katanya memetik kenyataan di IG Live.

Tambah Ebit Lew, segala tuduhan itu akan diserahkan kepada peguam yang dilantik khas selain pihak polis juga meminta beliau agar tidak memanjangkan isu ini.

“Selebihnya semua tuduhan (tersebut) di mana-mana, saya akan serahkan kepada peguam yang saya lantik khas, insyaAllah dalam masa terdekat saya akan jawab semua tuduhan tu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ebit memberitahu beliau langsung tidak membuka mana-mana tabung untuk orang ramai menderma ketika melaksanakan misi di Gaza.

“Saya pergi pun dengan duit saya sendiri dan saya tak buka satu tabung pun untuk Gaza, saya tak sangka akan jadi macam ni,” katanya.

Isu tular berkaitan pelbagai tuduhan yang didakwa dilemparkan kepada Ebit Lew dikatakan bermula sejak misi kemanusiaan beliau ke Semenanjung Gaza, Palestin dan berlarutan sehingga pulang ke tanah air.

Ebit Lew memaklumkan akan menjawab semula semua tuduhan dan dakwaan tersebut dalam satu kenyataan pada esok.

Sumber: Siakap Keli

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan  anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih

TAG