Bekas Menteri Afghanistan Yang Kini Sara Hidup Sebagai ‘Rider’ Makanan Di Eropah


Tekad membuat keputusan untuk mengubah haluan dan cara hidup lalu berhijrah keluar dari tanah air sendiri ke benua orang demi kelangsungan hidup.

Demikianlah yang dirasai oleh Syed Saadat, 49, bekas menteri kerajaan Afghanistan yang kini berkelana di Leipzig, Jerman dan menyara hidup sebagai penghantar makanan (rider) setiap hari.

Mengimbas kembali, ketika berada dalam Kabinet Afghanistan yang terdahulu, Syed mendakwa dia sudah tidak tahan dengan gejala korupsi yang berlaku dalam kerajaan.

Selain itu, dia juga mendakwa terpaksa ‘angkat kaki’ dari tanah airnya sendiri kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan anggota-anggota menteri di bawah presiden ketika itu.

Kata Syed, urus tadbir mereka yang melibatkan dana kerajaan lebih mementingkan pada kehendak pihak tertentu, dipercayai termasuklah golongan ‘kroni’ berbanding projek-projek rakyat.

Sebagai menteri yang berintegriti, Syed sebaliknya tidak mahu memenuhi kehendak kerajaan yang tidak berlaku adil itu. Malangnya, dia mendakwa ditekan oleh anggota Kabinetnya sendiri termasuklah presiden.

Segala tekanan ini menyebabkan Syed membuat keputusan keluar dari Afghanistan pada 2020 dahulu dan berhijrah ke Jerman untuk memulakan hidup baharu.

Latar belakang pendidikan & kerjaya

Latar belakangnya bukan calang-calang. Syed sebenarnya merupakan lulusan Universiti Oxford yang memiliki dua ijazah sarjana, masing-masing dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Berbekalkan ilmu tersebut, Syed berpengalaman luas dalam kerjayanya dengan pernah berkhidmat bersama lebih 20 syarikat di 13 negara berbeza selama 23 tahun.

Selain itu, antara pencapaian tertingginya adalah pernah bertugas sebagai Penasihat Teknikal Kementerian Informasi dan Komunikasi Afghanistan dari 2005 hingga 2013.

Kariernya tidak terhenti di situ. Syed juga pernah menjawat jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif di syarikat telekomunikasi Ariana Telecom di London, UK selama dua tahun dari 2016 hingga 2017.

Survive mula hidup baharu di Jerman

Difahamkan, Syed memilih untuk berhijrah ke Eropah adalah kerana memiliki status kerakyatan dua negara Afghanistan-British, selain turut optimis yang Jerman mempunyai peluang pekerjaan yang tinggi.

Ketika baru mulakan hidup baharu di Jerman dulu, Syed menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan kerana masalah lemah penguasaan Bahasa Jerman.

Sebagai langkah survival, Syed menyara hidup sebagai penghantar makanan syarikat p-hailing, Lieferando dengan menggunakan basikal di sekitar bandar Leipzig selama enam jam setiap hari.

Hasil ‘berpeluh’ mengayuh basikal ke sana-sini menghantar makanan, dia mampu menjana pendapatan kira-kira RM58 dalam masa sejam dan RM348 setiap hari.

Dalam masa sama, dia terlebih dahulu akan menghabiskan masa selama empat jam setiap pagi di sekolah khas untuk menguasai Bahasa Jerman sebelum memulakan kerja penghantaran makanannya.

Bagi Syed, walaupun memiliki kelulusan akademik yang tinggi, berpengalaman luas dalam bidang berjaya dan pernah bergelar menteri, dia langsung tidak berasa malu untuk mencari rezeki di jalanan di Bumi orang.

Malah Syed juga percaya yang dia pasti boleh bekerja sebagai penasihat kerajaan Jerman pada satu hari nanti, sekaligus dapat membantu rakyat Afghanistan yang menetap di Jerman.

Berdasarkan statistik, Syed merupakan salah seorang warga Afghanistan yang berhijrah ke Jerman atas faktor kerjaya pada tahun-tahun terakhir kini.

Angka populasi mereka di sana dipercayai akan turut bertambah pada tahun-tahun mendatang, ia termasuklah faktor pengunduran tentera AS dan peralihan kerajaan seperti yang berlaku baru-baru ini.

Sumber: Siakap Keli

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih