Ilmuwan Singapura Jangka Bahasa Melayu Akan Diajar Dalam Bahasa Inggeris Pada Masa Hadapan


Dr Mohamed Aidil Subhan, seorang pakar bahasa dan Pensyarah Kanan di Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang (NTU-NIE) menjangkakan bahawa Bahasa Melayu mungkin akan diajar dalam Bahasa Inggeris pada masa akan datang selepas melihat kurangnya penggunaan Bahasa Melayu di kalangan warga
 Singapura, lapor Media Corp.

Merujuk data Banci Penduduk, Dr Aidil menyatakan bahawa sekitar 1980, penggunaan Bahasa Melayu mencatatkan peratusan yang tinggi berbanding sekarang di mana penggunaannya telah menjunam jatuh kepada 60 peratus pada tahun lalu.

Beliau yang bercakap dalam satu forum Siri Cendekiawan Lestari anjuran Yayasan Warisan Melayu sempena Bulan Bahasa pada Sabtu (11 Sept) lalu, melihat senario Bahasa Melayu diajar dalam Bahasa Inggeris ini mungkin akan terjadi selepas penggunaan Bahasa Melayu dilihat kurang mendapat tempat sebagai bahasa utama dalam keluarga-keluarga Melayu di sana.

“Perlu ada perubahan dalam cara kita mengajar. Sekarang kita mengajar Bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu. Mungkin menjelang 2065, kita perlu mengajar bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa lazim pelajar. Sebab bahasa Melayu mungkin tidak akan lagi menjadi bahasa lazim para pelajar semasa di rumah.”

Tambah beliau lagi, polisi dan perancangan untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu sudah pun dilakukan di peringkat kementerian dan sekolah-sekolah, tetapi usaha ini juga perlu disokong oleh ibu bapa yang juga memikul tanggungjawab untuk memastikan bahawa penggunaan Bahasa Melayu di rumah terus hidup subur di kalangan anak-anak mereka.

“Saya ingat, saya pergi ke sebuah sekolah, ada pelajar cakap dengan cikgunya: ‘Cikgu saya tidak dapat habiskan kerja rumah’. Cikgunya tanya kenapa. Dia kata: ‘Saya tolong atok saya sental bilik air’. Saya bila dengar ‘sental bilik air’, saya rasa syahdu. Sebab istilah sental itu, sudah tidak ada orang lagi gunakan,” kata Dr Aidil.

Untuk rekod, Singapura mengiktiraf empat bahasa rasmi, iaitu Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil. Menurut laporan Literacy and language pula, Bahasa Inggeris paling banyak dituturkan di kalangan warga Singapura, diikuti dengan Mandarin, Melayu dan Tamil.

Sumber: The Vocket

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih