Jadi Rebutan Dua Wanita, Lelaki Terpaksa Lambung Syiling Tentukan Nak Pilih Siapa


Umpama adegan dalam filem Bollywood, kisah seorang lelaki yang menjadi rebutan dua orang gadis di Karnataka, India menjadi tular setelah dia menggunakan cara yang sangat ‘unik’ untuk memilih salah seorang dari gadis itu.

Menurut India Times, kisah yang berlaku di Sakleshpur Taluk di daerah Hassan, Karnataka itu bermula setahun yang lalu ketika lelaki tersebut yang berusia 27 tahun bertemu dan jatuh cinta pandang pertama pada seorang wanita berusia 20 tahun yang berasal dari kampung sebelah.

Hendak dijadikan cerita, lelaki itu juga telah bertemu dan jatuh cinta pada seorang lagi wanita sejak enam bulan yang lalu. Dia menjalinkan hubungan tersebut tanpa diketahui oleh kedua-dua gadis itu.

Namun, salah seorang saudaranya dikatakan telah melihat lelaki itu keluar bersama seorang wanita dan memberitahu perkara tersebut kepada bapanya.

Selepas ‘disoal siasat’ oleh ahli keluarganya, dia mengatakan bahawa dia telah jatuh cinta terhadap wanita itu dan ingin mengahwininya. Bagaimanapun, keluarganya dikatakan tidak bersetuju dengan rancangannya itu dan telah mengaturkan perkahwinan dengan wanita lain.

Tidak berakhir di situ, kedua-dua wanita yang dicintainya dikatakan telah mengetahui mengenai perkahwinan itu dan telah menyerbu rumahnya bersama keluarga mereka. Kecewa dengan keadaan itu, keluarga mereka mendedahkan mengenai ‘skandal’ yang telah ditimbulkan oleh lelaki itu.

Situasi itu membuatkan seluruh ahli keluarga lelaki tersebut bingung dan tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikannya.

Setelah melakukan perbincangan dan mencapai kata sepakat, mereka semua bersetuju untuk melambung syiling bagi memilih salah seorang wanita tersebut untuk mengahwini lelaki itu.

Bagaimanapun, wanita mana yang terpilih tidak dinyatakan dengan terperinci tetapi ada yang mengatakan bahawa mungkin wanita pertama yang telah terpilih.

Sumber: Siakap Keli

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih