Kereta Dihanyut Arus Deras Di Inanam, Sabah Ditemukan Pagi Ini


Sebuah kereta Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini lewat petang semalam ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bersama orang awam pada 7.20 pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kereta berkenaan ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi ia dilapor hanyut dan pada masa ini pasukan selam jabatan itu sedang menjalankan operasi pemulihan kenderaan terbabit.

Menurut kenyataan itu pasukan bomba masih dalam usaha mencari dua lelaki mangsa kejadian iaitu pemandu kereta bernama Simon Sanga Tupe, berusia 68 tahun dan seorang penumpang dikenali sebagai Juning, 30.

“Anggota pasukan selam ada menemukan petanda mangsa berada di dalam kereta itu, bagaimanapun operasi masih dijalankan ketika ini dan pasukan sedang mendapatkan pengesahan,” menurut kenyataan itu.

Semalam tular video kejadian kereta berkenaan cuba menyeberangi sebuah jambatan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran dalam kejadian kira-kira 6 petang.

Sumber: Siakap Keli

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih