Pawang Terkenal Sri Lanka, Dakwa ‘Berkuasa’ Hentikan COVID-19 & Tolak Vaksin, Dilapor Meninggal Dunia Kerana COVID-19


Seorang dukun berprofil tinggi dari Sri Lanka yang mendakwa bahawa dia mampu untuk menghentikan penularan wabak di negaranya dengan air ‘jampi’ telah dilaporkan meninggal dunia akibat daripada virus tersebut, lapor Daily Mail.

Pada bulan November yang lalu, lelaki berusia 48 tahun itu akui bahawa dia mampu untuk menamatkan pandemik di Sri Lanka serta negara jirannya iaitu India dengan hanya menuangkan periuk air yang telah ‘dijampi’ ke dalam sungai.

Menurut keluarganya, dukun yang pernah merawat bintang sukan dan ahli politik terkemuka termasuk perdana menteri negara itu menolak untuk divaksin.

Dia dilaporkan dijangkiti dan jatuh sakit disebabkan oleh virus tersebut pada awal bulan ini.

Apabila dibawa ke hospital, keadaannya semakin bertambah buruk sehingga akhirnya meninggal dunia pada Rabu.

Bekas menteri kesihatan Sri Lanka, Pavithra Wanniarachchi pernah menyokong cara rawatan yang diguna pakainya, namun turut dijangkiti dengan COVID-19 dua bulan kemudiannya sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Akibat daripada tindakannya itu, beliau dilaporkan telah kehilangan portfolio dan ditukar ke kementerian lain.

Pawang berkenaan sebelum ini telah meraih perhatian antarabangsa pada tahun 2010 apabila pemain kriket lagenda India, Sachin Tendulkar mengucapkan terima kasih kepadanya secara terbuka kerana telah merawat kecederaan lututnya.

Dia juga pernah merawat bintang kriket India yang lain, termasuk Gautam Gambhir dan Ashish Nehra.

Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa, yang merupakan antara ahli politik yang pernah mendapatkan rawatan dengannya menyatakan: “Warisannya akan terus hidup sepanjang zaman, dia menyentuh dan menyembuhkan pelbagai penyakit.”

Walau bagaimanapun, doktor perubatan moden menyifatkannya sebagai penipu dan perawat Ayurveda juga turut menolak dakwaannya walaupun dukun itu menyatakan bahawa dia menggunakan kaedah dari tradisi perubatan India yang berusia 3,000 tahun.

Jumlah kematian COVID-19 di Sri Lanka dilaporkan telah melebihi 12,000 kes dengan lebih daripada setengah juta orang dijangkiti setakat ini.

Doktor menyatakan bahawa angka sebenar mungkin dua kali ganda lebih tinggi dan pihak berkuasa terpaksa menjalankan kaedah kremasi besar-besaran akibat jumlah mayat terlalu banyak.

Sri Lanka kini dilaporkan berada dalam perintah berkurung susulan daripada penularan varian Delta

Sumber: Siakap Keli

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih