Pemandu Lori Rempuh Lima Kenderaan Positif Dadah


KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — Polis menahan seorang pemandu lori yang didapati positif dadah selepas kenderaan yang dipandunya merempuh lima kenderaan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Ipoh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.40 petang itu, seorang pemandu kereta jenis Perodua Myvi berusia 45 tahun yang turut terlibat dalam kemalangan itu terperangkap dalam kenderaannya namun berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata lori yang dipandu oleh suspek berusia 25 tahun itu, menghala ke Sentul dari Jalan Duta sebelum merempuh dua Perodua Myvi serta Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL.

“Sampai di lampu isyarat Jalan Ipoh, lori terbabit gagal dikawal dan merempuh dengan laju lima kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat.

Pemandu Myvi itu hanya mengalami cedera ringan di bahagian muka dan mendapat rawatan di Zon Hijau Hospital Kuala Lumpur manakala pemandu kenderaan yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata ujian awal mendapati suspek tidak dipengaruhi alkohol namun ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hari ini, tular di media sosial rakaman kamera perakam video yang memaparkan sebuah lori tanpa muatan merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.

Berdasarkan maklumat, kemalangan itu menyebabkan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning remuk teruk manakala beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan.

Sumber: Bernama/Siakap Keli

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih