Perlis Keluar Fatwa Terhadap Gurauan ‘Kasar’, Boleh Jatuh Haram Jika Bercanggah Syariat

Jenaka adalah salah satu cabang hiburan bagi meredakan tekanan setelah seharian penat bekerja. Ia juga dianggap sebagai salah satu cara bagi manusia untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Penyelidik mendapati bahawa mereka yang pandai bergurau mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi, pengaruh yang positif, kecekapan diri yang lebih besar, pandai mengawal diri daripada kegelisahan, dan mempunyai interaksi sosial yang lebih baik.

Bagaimanapun, dalam membuat sesuatu perkara dalam hidup. Perlulah ada sifat berpada-pada dan tahu di mana garis sempadan, termasuklah dalam bergurau. Kerana sesetengah gurauan boleh menyakitkan hati orang, manakala sesetengah lagi boleh memburukkan institusi. Dan ia juga akan menimbulkan permusuhan jika tidak dibendung dengan baik.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Perlis semalam telah memperkenalkan fatwa yang melarang lawak jenaka yang bersifat keterlaluan sehingga mengolok-ngolokkan agama Islam. Kata Mufti, Mohd Asri Zainul Abidin, gurauan dibenarkan di dalam Islam jika ia bertujuan untuk membawa kebaikan dan dilakukan dengan cara yang baik, namun jatuh haram jika gurauan itu dibuat dengan niat yang tidak wajar serta bercanggah dengan syariat.

Selain larangan membuat jenaka berkenaan dengan agama Islam, badan itu juga melarang jenaka yang meremehkan atau merendahkan orang lain secara tidak adil. Ia juga menetapkan bahawa seseorang tidak boleh membuat gurauan yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain secara fizikal dan emosi, termasuk menyebabkan kerosakan harta benda atau mengganggu ketenangan seseorang atau masyarakat.

“Gurauan membawa kebaikan adalah seperti untuk menjalinkan hubungan lebih akrab, pendidikan lebih berkesan atau segala maksud baik, maka ia boleh mendatangkan pahala. Namun, ia menjadi haram sekiranya terdapat unsur mempermainkan agama Islam, sama ada daripada sudut kepercayaan, syiar atau amalan, memperlekeh dan merendahkan orang lain dalam perkara dan bentuk tidak wajar,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today.

Bagi menjelaskan apa yang dianggap sebagai jenaka, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-53 menjelaskan apa yang boleh dianggap gurauan adalah “prank”, karikatur, parodi, satira, komedi dan seumpamanya yang dibenarkan selagi ia tidak bercanggah syariat.

Sumber: The Vocket

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih