Turki Dilapor Tahan 15 Individu Termasuk Warga Palestin, Didakwa ‘Bekerja’ Untuk Agensi Perisikkan Israel


Turki dilaporkan telah berjaya menahan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengintipan bagi pihak negara lain.

Menurut Arab News, operasi menyeluruh yang dilakukan oleh Pertubuhan Perisikan Nasional Turki itu memperlihatkan sekurang-kurangnya 15 orang telah ditahan. Mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan agensi perisikan Israel Mossad yang didakwa menjalankan aktiviti di Turki dan menyasarkan pembangkang Israel dan pelajar Palestin.

Difahamkan, proses soal siasat terhadap tahanan sedang dijalankan selepas mereka dibawa ke penjara di Istanbul.

Jika disabitkan kesalahan, mereka mungkin akan berdepan hukuman penjara selama 15 hingga 20 tahun.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan bahawa kira-kira 200 orang mengambil bahagian dalam operasi untuk menangkap 15 tahanan itu di empat wilayah yang berbeza.

Operasi secara rahsia itu juga telah memakan masa selama lebih setahun dan dianggap sebagai operasi perisikan terbesar dalam sejarah Turki.

Anggota operasi itu didakwa telah berhubung rapat dengan pegawai lapangan Mossad, menyampaikan maklumat dan dokumen melalui pertemuan bersemuka di luar negara iaitu di Croatia, Romania, Kenya dan Switzerland.

Mereka yang ditahan dipercayai telah menjalankan perisikan ke atas pelbagai syarikat dan persatuan di Turki serta warga Palestin yang belajar di universiti negara itu. Mereka memberikan tumpuan khusus kepada pelajar yang mempunyai masa depan dalam bidang industri pertahanan.

Sementara itu, badan perisikan Turki percaya bahawa beberapa orang warga Palestin dan Syria yang dilaporkan hilang sejak bulan lalu turut terlibat dalam rangkaian perisikan tersebut.

Bagaimanapun, kerajaan Israel dan Turki tidak mengulas mengenai laporan tersebut.

Sumber: Siakap keli

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih