Dakwaan ‘Edisi Siasat’ Hanya Rekaan, Ketua Polis Negara Mahu Cari Pemilik Akaun


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata bahawa kebanyakan berita salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah oleh pengendali saluran akaun Twitter 
Edisi Siasat di media sosial adalah cerita yang sengaja diada-adakan. Polis juga kini sudah membuka 13 kertas siasatan dan sedang berusaha untuk mengenal pasti pihak yang berada di belakang laman sosial berkenaan.

“Ingin saya nyatakan di sini bahawa setiap perkara yang disebarkan dalam Edisi Siasat tersebut, kebanyakannya adalah merupakan berita yang diada-adakan untuk mewujudkan suasana sensasi.

“Dan setakat ini kita masih lagi menjalankan siasatan dan kita harap dan kita percaya dalam tempoh terdekat ini kita akan dapat mengenal pasti siapakah mereka individu atau pun sekumpulan individu yang berada di belakang tabir Edisi Siasat ini,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Pada Oktober lalu, The Vocket melaporkan pihak polis telah meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun laman sosial terbabit. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata bahawa pihak berkuasa sedang dalam proses untuk mengenal pasti siapakah individu yang mengendalikan akaun tersebut.

Siasat pendedahan Edisi Siasat

Manakala badan bukan kerajaan (NGO) Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) mahu pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh dakwaan yang dibuat oleh pemberi maklumat yang mengendali akaun Edisi Siasat.

Pusat C4 menyatakan bahawa dakwaan yang dibuat akaun terbabit adalah mengejutkan dan perlu dibongkarkan kebenarannya kerana melibatkan pegawai tertinggi dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini mengingatkan bahawa bekas ketua polis negara (IGP), Hamid Bador, telah memberi amaran tentang kartel dan tahap rasuah yang tinggi dalam pasukan polis apabila beliau bersara pada akhir tahun lepas.

“IGP sekarang tidak banyak bercakap mengenai sebarang siasatan mengenai dakwaan sedemikian. Tiada siapa yang dinamakan atau didakwa kerana salah guna kuasa dan rasuah dan terus terlepas dari hukuman,” kata Pusat C4 seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini.

Sumber: The vocket

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih.