Lebih Jimat Belanja Sewa, Toyota Vellfire Sah Jadi Kenderaan Rasmi Menteri Kabinet

Pihak kerajaan telah membuat keputusan untuk menggunakan Toyota Vellfire 2.5L sebagai Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) Menteri Kabinet bagi menggantikan model Proton Perdana 2.4 Premium yang digunakan sebelum ini.

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memuat naik kenyataan rasmi melalui media sosial menyatakan kos sewaan bulanan bagi Proton Perdana 2.4 Premium adalah RM4,854.41 manakala Toyota Vellfire 2.5L pula cuma berjumlah RM4,851.61, di mana kos sewaan KRT Menteri Kabinet telah jimat sebanyak RM2.80 untuk setiap seunit.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan kenderaan rasmi untuk Menteri Kabinet Malaysia telah ditukar daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L sejak April 2021 lalu.

“Cadangan penggantian kereta Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Toyota Vellfire sebenarnya telah dipertimbangkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini.

“Untuk makluman, usia KRJ bagi jemaah menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah enam tahun.

“Sedangkan tempoh penggantian KRJ sebenarnya dijadualkan setiap empat tahun sekali,” terang kenyataan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Memetik laporan Utusan, kerajaan telah membayar kos pajakan bulanan Toyota Vellfire 2.5L sebanyak RM5,759.35. Kos pajakan bulanan ini terdiri dari kos sewaan bulanan sebanyak RM4,851.61 dan kos selenggaraan bulanan RM907.74.

Tambah Tengku Zafrul, sehingga September 2021, kerajaan telah membayar kos pajakan sebanyak RM1.42 juta kepada syarikat konsesi.

Sumber: The vocket

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih.