Penunggang Motosikal Tersangkut Atas Bumbung Selepas Dilanggar Honda Civic Bawa Dadah


Pada lewat petang semalam, orang ramai terkejut apabila tular satu berita mengenai seorang penunggang 
motosikal ‘hilang’ selepas berlanggar dengan sebuah Honda Civic yang masuk ke laluannya.

Rupa-rupanya mangsa yang baru berumur 19 tahun itu telah melambung ke atas bumbung bengkel kereta berhampiran tempat kejadian selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Pak Badol, Kelantan.

Memetik laporan Harian Metro, pemilik bengkel terdengar dentuman kuat ketika dia sedang membaiki kereta, lalu melihat sebuah kereta dan motosikal terbabas di pagar rumahnya kira-kira pukul 11 pagi.

Sewaktu penduduk kampung memeriksa keadaan kedua-kedua kenderaan itu, mereka hanya menemui pemandu kereta namun tidak menemui penunggang motosikal yang hancur.

“Kami mencari-cari pemandu motosikal di sekitar kawasan kemalangan namun hairan kerana tidak menemui mangsa.

“Beberapa minit kemudian, barulah ada bunyi orang bergerak atas bumbung dan saya menyedari mangsa kemalangan berada atas bumbung bengkel saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan.

Penduduk setempat menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Balai Bomba dan Penyelamat Bachok untuk menurunkan mangsa oleh kerana ketinggian bumbung bengkel tersebut.


Seramai tujuh anggota bersama 11 anggota daripada agensi penyelamat lain seperti polis, APM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbabit dalam operasi menyelamatkan mangsa kemalangan.

“Kami mengambil masa 10 minit menggunakan tiga unit tangga, satu unit pengusung dan tali pengikat untuk menurunkan mangsa yang tercedera,” terang Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud.


Manakala Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin pula berkata, kemalangan berlaku apabila Honda Civic dipandu lelaki berusia 36 tahun dari Melor cuba memotong Perodua Kancil namun bertembung motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah bertentangan.

Tambah beliau lagi, kemalangan itu telah membongkar kegiatan jenayah apabila polis menemui dadah jenis heroin seberat tiga gram dan 102 biji pil kuda dalam kereta berkenaan.

“Rampasan membabitkan nilaian RM3,020 selain pemandu kereta ditahan polis.

“Ujian air kencing turut mendapati mangsa positif methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kes dadah disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Sumber: The vocket

PERHATIAN Pihak Malaysia Sinar Harian tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir dua kali terlebih dahulu sebelum meninggaIkan komen anda disini. Malaysia Sinar Harian juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri Terima kasih.